fbpx

UPSR, PT3 kekal mansuh, tak akan diadakan semula

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) kekal memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) walaupun terdapat ibu bapa mahu ia dilaksanakan semula.

Timbalan Menteri Pendidikan ll, Datuk Mohamad Alamin, berkata perkara itu sudah diputuskan sebelum ini dan pihaknya berulang kali memberikan penerangan kepada masyarakat serta ibu bapa berkaitan dengan pemansuhan dua peperiksaan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dilakukan kerana KPM mahu mengambil pendekatan yang lebih inklusif dan tidak mahu pelajar berkenaan hanya bergantung kepada peperiksaan semata-mata.

“Kita sudah putuskan untuk hapuskan kerana mahu jadikan dan lahirkan modal insan yang berkebolehan dalam banyak bidang lain, bukannya soal akademik semata-mata.

“Kita mahu Malaysia ini bergerak sebagai sebuah negara yang lebih maju, (maka) kita ingin bekalkan negara dengan modal insan yang mempunyai kepakaran pelbagai, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi bidang lain juga.

“KPM tidak akan lahirkan modal insan yang hanya berorientasikan peperiksaan, itu tujuan utamanya. Percayalah kita akan bantu negara untuk lahirkan modal insan yang lebih berkebolehan, bukan hanya akademik sahaja,” katanya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan semakin ramai ibu bapa yang menuntut supaya UPSR dan PT3 dikembalikan dalam sistem pendidikan negara kerana berpendapat KPM masih belum bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai pendekatan tunggal kepada sistem penilaian di sekolah.

Pada 28 April tahun lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala pada tahun yang sama PT3 turut dibatalkan.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles