SYDNEY – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menzahirkan kekecewaan selepas pihak berkuasa Indonesia mengurangkan hukuman penjara terhadap dalang pengeboman di Bali.
Pengurangan tempoh hukuman penjara itu menyaksikan Umar Patek boleh dibebaskan menjelang ulang tahun ke-20 insiden itu pada Oktober ini sekiranya diberikan parol.
Umar Patek dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh Mahkamah Indonesia pada 2012 selepas didapati bersalah kerana kesalahan terbabit dalam pengeboman membabitkan dua kelab malam di Bali sedekad sebelumnya, mengakibatkan 202 orang terbunuh, termasuk 88 orang warga Australia.
Beliau yang juga anggota kumpulan militan Jemaah Islamiyah (JI) turut dipenjarakan kerana terbabit dalam insiden pengeboman beberapa gereja di Jakarta pada malam Krismas pada tahun 2000 yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang.
Pengurangan hukuman selama lima bulan itu adalah sebahagian daripada siri pengampunan yang diberikan kepada banduan bersempena hari kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos lalu, kata Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Dalam pada itu, pihak kehakiman Indonesia dan pegawai kementerian luarnya tidak memberikan maklum balas berhubung soalan berkaitan kes itu.
Albanese berkata, kerajaannya akan berhubung dengan Indonesia secara diplomatik mengenai keputusan itu.
Sebelum ditahan, Patek melarikan diri selama sembilan tahun, sebelum dia akhirnya ditangkap di Abbottabad, Pakistan, pada 2011 iaitu bandar yang sama Osama bin Laden dibunuh beberapa bulan selepas penahanannya.
Dalang pengeboman Bali, Hambali yang juga dikenali sebagai Encep Nurjaman, kini ditahan di Teluk Guantanamo di Cuba dan sedang menunggu perbicaraan sejak 2006. – REUTERS