fbpx

Pemilik kedai kopi terkenal di Ipoh hilang

IPOH – Seorang pemilik kedai kopi terkenal di sini, dilaporkan hilang selepas keluar dari kedainya di Jalan Sultan Iskandar di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata Kamarudin Daud, 58, dilaporkan kali terakhir dilihat ketika keluar dari kedai kopi miliknya kira-kira jam 9.20 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan laporan daripada menantu lelakinya yang berusia 26 tahun, bapa mentuanya keluar dengan membawa barang peribadi dan sebuah beg.

“Kebiasaannya mangsa keluar untuk membeli barang saja, tetapi sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih tidak balik ke kedai dan rumah.

“Mangsa dilihat kali terakhir memakai baju t-shirt berwarna hitam dan hijau serta bertulis ‘Islam’ berwarna hijau,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Yahaya berkata, tiada rekod mangsa dimasukkan atau didaftarkan di mana-mana hospital termasuk Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini dan hospital swasta berhampiran.

“Ini kali pertama mangsa keluar rumah tanpa memberitahu apa-apa dan kemungkinan mangsa merajuk dan berlaku selisih faham antara keluarga.

“Namun punca sebenar mangsa keluar rumah masih tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.– BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles