SUKKUR – Puluhan juta penduduk Pakistan bergelut dengan banjir monsun terburuk dalam tempoh sedekad yang mengorbankan 1,061 orang sejak Jun lalu.
Lebih menyedihkan, banyak rumah hanyut, ladang musnah dan tebing sungai utama pula seakan-akan mahu pecah.
Bagaimanapun, angka terakhir mungkin lebih tinggi kerana ratusan kampung di utara pergunungan terputus hubungan selepas sungai yang dilanda banjir menghanyutkan jalan dan jambatan.
Banjir tahun ini memberi kesan kepada lebih 33 juta orang, satu dalam tujuh rakyat Pakistan.
Menteri Iklimnya, Sherry Rehman berkata, ketika ini lautan air menenggelamkan keseluruhan daerah.
“Ini adalah jauh daripada monsun biasa, ia adalah iklim distopia di depan pintu kita,” katanya.
Banjir tahun ini adalah setanding dengan 2010, paling teruk dalam rekod, apabila lebih 2,000 orang maut dan hampir satu perlima daripada negara itu berada bawah air.
Sementara itu, berhampiran Sukkur, sebuah bandar di selatan wilayah Sindh, yang menempatkan benteng era kolonial di Sungai Indus, memainkan peranan penting dalam mengelakkan malapetaka selanjutnya.
Sebahagian besar Sindh kini menjadi landskap air yang tidak berkesudahan, menghalang operasi bantuan besar-besaran yang diketuai oleh tentera.
Helikopter tentera juga bergelut untuk mengambil orang ke tempat yang selamat di utara, di mana gunung yang tinggi dan lembah dalam menjadikan penerbangan berbahaya.
Kerajaan mengisytiharkan darurat dan merayu bantuan antarabangsa.
Semalam, penerbangan pertolongan cemas yang pertama mula tiba dari Turki dan Emiriah Arab Bersatu.
Selain itu, harga barangan asas terutamanya bawang, tomato dan kacang kuda, melambung tinggi apabila penjual meratapi kekurangan bekalan dari wilayah Sindh dan Punjab yang dilanda banjir. – AFP