GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kerajaan Pakistan melancarkan rayuan bantuan kecemasan mencecah AS$160 juta yang sedang berdepan ancaman banjir terburuk dalam tempoh lebih sedekad.
Puluhan juta penduduk terjejas apabila hujan monsun berterusan sejak Jun lalu mengakibatkan banjir yang menenggelami satu per tiga daripada Pakistan.
Setakat ini, bencana itu telah meragut lebih 1,100 nyawa, memusnahkan banyak tanaman dan merosak atau memusnahkan lebih sejuta kediaman.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang menyifatkan bencana itu sebagai ‘krisis besar’, berkata, dana diperoleh akan digunakan untuk membantu 5.2 juta penduduk paling rentan serta paling terkesan, dengan keperluan bekalan makanan, air bersih, sanitasi, pendidikan kecemasan, perlindungan dan sokongan kesihatan.
“Pakistan sedang menderita. Rakyatnya berdepan detik genting kesan musim tengkujuh yang membawa hujan berterusan dan banjir besar,” katanya dalam satu kenyataan melalui video.
Sambil menyifatkan banjir terbabit sebagai ‘malapetaka iklim’, Guterres berkata, Asia Selatan ialah antara ‘hotspot’ di dunia yang mana penduduknya adalah ’15 kali lebih berkemungkinan mati akibat kesan iklim.’
Secara umum, bantuan berkenaan yang meliputi enam bulan pertama tindak balas krisis itu, akan dimanfaatkan untuk mencegah wabak penyakit seperti taun, di samping menyediakan makanan berkhasiat kepada kanak-kanak dan ibu mereka.
“Hujan lebat dijangka berterusan, manakala air di banyak empangan dan sungai telahpun mencecah paras banjir. Justeru, bencana banjir ini berkemungkinan akan semakin buruk,” kata Laerke pada taklimat media di Geneva.
Agensi pelarian PBB pula memaklumkan, terdapat kira-kira 1.3 juta pelarian Afghanistan berdaftar di Pakistan, dan pihaknya sudah menyalurkan bantuan kecemasan dan barangan perlindungan bernilai AS$1.5 juta, namun banyak lagi yang diperlukan pada minggu-minggu mendatang. – AFP