NEW YORK – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida bersetuju untuk menambah baik hubungan dingin yang kerap dibayangi pertikaian sejarah.
Pemimpin kedua-dua negara berkenaan mengadakan pertemuan bersemuka pertama sejak 2019 sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.
Suk-yeol yang mula memegang jawatannya Mei lalu, berhasrat menambah baik hubungan dengan Tokyo yang dibayangi pertikaian sejak era penjajahan Jepun di semenanjung Korea antara 1910-1945, ketika kedua-dua negara berdepan ancaman misil dan nuklear Korea Utara.
Pada masa sama, Jepun turut menegaskan mengenai kepentingan kerjasama strategik dengan Korea Selatan.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju pada keperluan menambah baik hubungan dengan memutuskan isu yang masih belum selesai, mereka bersetuju mempercepat rundingan diplomatik serta meneruskan perbincangan antara mereka,” kata Timbalan Jurucakap Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myoung dalam satu kenyataan.
Jae-myoung berkata, kedua-dua pemimpin turut berkongsi kebimbangan serius mengenai program nuklear Korea Utara, termasuk kelulusan undang-undang terbaru yang membolehkan negara itu mendahului dalam penggunaan senjata nuklear sebelum diserang, serta kemungkinan pelaksanaan semula ujian nuklear buat kali pertama sejak 2017.
Jepun dan Korea Selatan bagaimanapun menyifatkan pertemuan kedua-dua pemimpin selama 30 minit itu sebagai ‘tidak formal’.
Dalam pada itu, Setiausaha Akhbar Kementerian Luar Jepun, Hikariko Ono, berkata kedua-dua pemimpin ‘berkongsi keperluan mengembalikan hubungan bilateral yang baik dengan memuktamadkan pelbagai isu’.
Katanya, kedua-dua mereka bersetuju membangunkan hubungan ‘berdasarkan masa depan menerusi asas hubungan persahabatan dan kerjasama yang dibina kedua-dua negara sejak normalisasi hubungan diplomasi pada 1965.’ – REUTERS