DURHAM – Selepas 43 tahun sebuah keluarga terperanjat dan kecewa selepas mengetahui realiti sebenar kubur yang dilawati bukannya menempatkan bapanya.
Daily Mail melaporkan, Sylvia Ross, 67, mengunjungi kubur yang dipercayai bapanya, John Thomas Thompson di tanah perkuburan Witton di Bishop Auckland, County Durham sejak dikebumikan pada 1979.
Bagaimanapun, dia dan anak perempuannya, Lynette sangat kecewa selepas mengetahui kubur tersebut menempatkan mayat orang lain.
Katanya, perkara itu terbongkar selepas majlis perbandaran memaklumkan mengenai sebuah plak yang diletakkan di tempat yang salah di tanah perkuburan itu.
“Kami sekeluarga sangat kecewa apatah lagi ibu saya kerana dia sudah melawat kubur itu sejak 43 tahun lalu.
“Saya tidak pernah berjumpa dengan datuk semasa dia masih hidup dan berasa sangat sedih dengan kesilapan ini,” kata cucu mendiang.
Thompson meninggal dunia ketika berusia 51 tahun akibat masalah jantung dan dikebumikan di kubur tidak bertanda.
Difahamkan, keluarga tersebut selama ini melawat kubur milik Federick Brown yang meninggal dunia pada tahun sama.
Kesilapan itu hanya disedari apabila keluarga Brown mahu meletakkan tugu peringatan di plot berkembar mereka, tetapi menyedari tiada ruang mencukupi dan menghubungi Majlis Daerah Durham.
Pengurus Perkhidmatan Pengebumian Majlis Daerah Durham, Graham Harrison memohon maaf atas kesilapan yang berlaku terhadap keluarga Thompson.