fbpx

Dua beradik perempuan maut nahas motosikal akibat lampu isyarat rosak

SUNGAI PETANI – Dua beradik perempuan maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan Jalan Sungai Layar Hujung, tengah hari kelmarin.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 18 dan 23 tahun cedera parah di badan dan kepala meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Dalam kejadian pukul 1.40 tengah hari itu, motosikal jenis Yamaha 135LC dinaiki dua beradik iaitu Aliya Bashiroh Nasir, 18; dan kakaknya, Nurul Natasha, 23, berlanggar dengan kereta jenis Proton Saga.

Pemandu Proton Saga yang merupakan guru wanita berusia 54 tahun itu pula cedera pada bahagian mukanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata punca sebenar nahas itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan awal polis mendapati motosikal dua beradik itu dalam perjalanan dari Sungai Layar menuju ke Semeling, manakala kereta dipandu seorang guru wanita berusia 54 tahun dari Sungai Jagung menghala Laguna, Merbok.

Ketika tiba di persimpangan terbabit, pemandu kereta dan penunggang motosikal tidak berhenti atau memperlahankan kenderaan masing-masing ketika melewati lampu isyarat itu menyebabkan pelanggaran berlaku di antara dua kenderaan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian lampu isyarat terbabit mengalami kerosakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah dua beradik terbabit selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pial selepas solat Asar, petang semalam.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles