GEORGETOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 51 individu termasuk 13 wanita setakat ini berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya).
Justeru, SPRM dijangka dapat menyelesaikan siasatan berhubung kes itu dalam tempoh sebulan lagi.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, berkata sejumlah 62 kertas siasatan dibuka untuk menyiasat skandal membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta itu.
“Kes ini tidak berkaitan dengan politik. Ia seperti rompakan di siang hari yang mana sekumpulan individu melihat ada peluang (untuk mengambil keuntungan) daripada kemurahan hati kerajaan bagi membantu mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi dialog Program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Utara di sini, hari ini.
SPRM sebelum ini memaklumkan tentang pelaksanaan operasi besar-besaran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyiasat isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana insentif PenjanaKerjaya di beberapa negeri seluruh negara.
Operasi berkenaan adalah susulan maklumat diperoleh selepas pemantauan dan risikan oleh SPRM dengan kerjasama PERKESO yang mendapati ada majikan yang mengemukakan tuntutan palsu serta menyeleweng dana program tersebut.
Program PenjanaKerjaya adalah antara inisiatif kerajaan bagi membantu majikan dan pekerja berdepan cabaran pandemik COVID-19 bermula awal 2020 yang dilaksanakan oleh PERKESO melalui penyediaan peluang pekerjaan baharu, mengekalkan pekerjaan dan meningkatkan kemahiran pekerja.