STADIUM Nasional, Bukit Jalil akan menjadi venue akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur (KL) City dan kelab Oman, Al Seeb pada 22 Oktober ini.
Sebelum ini, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) memilih Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai venue akhir sepertimana dalam jadual di laman web rasmi badan induk itu.
“Ya (final di Bukit Jalil) kerana mereka perlu menggunakan VAR dan mereka juga perlu mempunyai 1800 lux untuk kecerahan (lampu limpah), ia berkaitan isu teknikal.
“Semua pemain dan barisan jurulatih mahu bermain di Cheras, kerana kami sudah biasa bermain di sana. Tapi disebabkan isu teknikal, kami terpaksa bermain di Bukit Jalil,” kata pengendali dari Croatia itu.
Apa yang pasti, City Boys bakal mengharungi tugas lebih berat berbanding cabaran sepanjang perjalanan mereka menuju ke final Piala AFC kerana Al-Seeb yang juga juara Liga Oman itu bukan calang-calang pasukan.
Al-Seeb dilihat mengamalkan corak permainan lebih kepada menyerang dan mereka juga mara ke final dengan bergaya selepas membelasah juara 14 kali Liga Perdana Bahrain, Al-Riffa 4-0 di final Zon Barat.