fbpx

Perlis bubar DUN hari ini

KANGAR – Perlis membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) secara rasmi hari ini, untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata pembubaran DUN yang mempunyai 15 kerusi itu dilakukan selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, ketika beliau mengadap baginda di Galeri DiRaja di Istana Arau, semalam.

“Pembubaran DUN ini sudah mendapat perkenan daripada tuanku selepas saya bersama Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari dan Setiausaha DUN, Mawar Awang, mengadap baginda sekitar jam 3 petang semalam.

“Maka, selaras dengan itu juga, DUN dibubarkan untuk memberi lalu kepada PRU-15 selepas pembubaran Parlimen diumumkan pada Isnin lalu,” katanya hari ini.

Azlan berkata, sehubungan itu kerajaan negeri Perlis menyerahkan segala urusan pilihan raya negeri selanjutnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, walaupun DUN sudah dibubarkan, kerajaan negeri masih berfungsi sebagai ‘caretaker government’ atau kerajaan sementara buat masa ini.

Untuk rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada PRU-14 lalu, Barisan Nasional (BN) menguasai 10 kerusi, manakala PKR memenangi tiga kerusi dan PAS mempunyai dua kerusi.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles