PUTRAJAYA – Kos pengurusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Bugaya di Sabah dianggarkan RM1.01 bilion meningkat kira-kira RM500 juta berbanding PRU14.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, berkata seramai 363,515 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 dan PRK DUN N66 Bugaya.
Selain itu, katanya, sebanyak 8,958 pusat mengundi biasa yang mengandungi 38,348 tempat mengundi atau saluran dan 578 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mempunyai 970 tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan.
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 9,536 pusat mengundi akan beroperasi membabitkan 39,318 tempat mengundi atau saluran.
“PRU15 dan PRK DUN N66 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.01 bilion,” katanya hari ini.
Abdul Ghani berkata, SPR juga melantik 222 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 1,264 Penolong Pegawai Pengurus, manakala sebanyak 625 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya turut ditubuhkan, bagi memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, bermula 5 November hingga jam 11.59 malam 18 November ini.
SPR hari ini menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 5 November manakala hari pengundian awal ialah pada 15 November ini.
Beliau berkata, Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya turut dianggotai oleh wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
“Sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon dan 222 Pusat Penjumlahan Rasmi Undi akan digunakan. Untuk memudahkan proses penamaan calon, SPR menasihati bakal calon yang bertanding dalam PRU15 dan PRK DUN N66 agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang itu dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri seluruh negara sebelum hari penamaan calon.
“Selain itu, bakal-bakal calon juga digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal. Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Ghani mengingatkan pihak terbabit Kertas Penamaan Calon yang lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus perlu dikemuka oleh calon atau penyokong atau pencadangnya pada hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon yang ditetapkan oleh SPR.
Katanya, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses-proses pilihan raya menerusi ‘live streaming’ bagi Pusat atau Saluran Mengundi yang terpilih di laman Facebook SPR sebagaimana yang dilaksanakan pada pilihan raya sebelum ini.