fbpx

Tiga beranak maut, kereta rempuh lori baiki jalan

ALOR GAJAH – Tiga beranak termasuk bayi berusia setahun maut di Kilometer 216, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pagi tadi selepas kereta dinaiki mangsa merempuh lori yang berhenti bagi kerja pembaikan jalan.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28, isterinya, Zubaidah Abd. Rajak srta anak pasangan itu, Muhammad Rizqi, setahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, nahas dipercayai berlaku selepas kereta Honda Jazz dinaiki tiga beranak tersebut merempuh belakang lori yang sedang melakukan kerja pembaikan jalan.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati lori tersebut berhenti di lorong paling kanan dan sedang meletakkan kon bagi kerja pembaikan pembahagi jalan.

“Walau bagaimanapun kereta dinaiki mangsa yang datang dari arah belakang merempuh lori terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Arshad, akibat rempuhan itu, ketiga-tiga mangsa maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Pasangan suami isteri tersebut merupakan jururawat dan bertugas di hospital pakar swasta di Johor Bahru.

Mayat tiga beranak tersebut dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah di sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles