fbpx

Budak 8 tahun gigit ular tedung hingga mati

NEW DELHI: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang dipatuk seekor ular, menggigit semula ular berkenaan di negeri Chhattisgarh di tengah India, menurut pihak berkuasa kelmarin.

Budak lelaki yang hanya dikenali sebagai Deepak itu dipatuk ketika cuba melindungi dirinya daripada reptilia terbabit di rumahnya di Pandarpadh di daerah Jashpur.

“Bila ular itu belit tangan saya, saya dipatuk. Saya rasa sakit. Saya gigit ular itu dua kali lalu baling ular itu,” kata Deepak kepada pemberita awal minggu ini.

Keluarganya kemudian membawanya ke klinik kesihatan, lapor Agensi Anadolu memetik The New Indian Express.

“Dia segera diberikan racun antiular dan diletakkan dalam pengawasan sepanjang hari dan dibenarkan keluar,” kata pegawai kanan kesihatan daerah Jashpur, Dr Jems Minj.

Pegawai berkata budak lelaki itu hanya menerima gigitan kering dan ular itu tidak mengeluarkan sebarang racun, sekali gus menyelamatkan nyawanya.

Saintis kanan di Zoological Survey of India, Pratyush P Mohapatra, berkata kejadian seperti itu jarang berlaku.

“Tetapi dalam keadaan begini, apa-apa boleh berlaku. Dalam mempertahankan diri, gigitan budak lelaki itu pasti menusuk organ penting menyebabkan haiwan itu mati,” katanya.

Terdapat 45,000 kematian akibat dipatuk ular setiap tahun direkodkan di India, menurut kajian ‘Million Death Study’ 2011.

Menurut kajian eLife, jurnal terbuka yang diterbitkan pada 2020 oleh pakar terkemuka India dan antarabangsa: “Korban akibat dipatuk ular mungkin menyebabkan 1.2 juta kematian di India sejak dua dekad lalu”.

“Ular kapak Russel’s, ular katam belang dan ular tedung adalah antara spesies ular yang dikesan paling banyak menyebabkan kematian di India,” menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Agensi kesihatan PBB itu menetapkan sasaran untuk mengurangkan separuh daripada jumlah kematian akibat gigitan ular menjelang 2030. – Bernama

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles