ARGENTINA dan Poland memastikan tempat ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 selaku juara dan naib juara Kumpulan C.
Juara dua kali itu mengatasi Poland 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium 974 malam tadi.
Pada separuh masa pertama, Argentina nyata pasukan lebih baik apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan melakukan sembilan percubaan tepat ke arah pintu gol Poland.
Begitupun, Argentina hanya berjaya membolos gawang Poland pada babak kedua menerusi jaringan pemain tengah, Alexis Mac Allister yang menerima hantaran Nahuel Molina.
Pada minit ke-67, penyerang Manchester City, Julian Alvarez meletakkan Argentina dalam kedudukan selesa selepas berjaya menggegarkan gawang Poland buat kali kedua.
Keputusan perlawanan Argentina dan Poland itu nyata menghampakan Mexico walaupun memberikan persembahan bertenaga dengan menundukkan Arab Saudi 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan C di Stadium Lusail.
Arab Saudi sebelum itu mencipta kejutan terbesar dengan menewaskan Argentina 2-1 pada perlawanan pembukaan, 22 November lalu.
Mexico memperoleh dua gol pada babak kedua menerusi Henry Martin pada minit ke-48 dan Luis Chavez, empat minit selepas itu.
Gol saguhati Arab Saudi dijaringkan Salem Al-Dawsari pada masa kecederaan.