fbpx

3 lelaki Bangladesh ditahan jual permit kerja palsu

SHAH ALAM – Tiga lelaki Bangladesh ditahan disyaki mengeluar dan menjual permit kerja palsu kepada rakan senegara pada harga lebih murah sejak Oktober lalu.

Dua suspek pertama berumur lingkungan 20 dan 30 tahun ditahan menerusi satu serbuan pada 7.30 malam di Kampung Baru Hicom, Seksyen 26, di sini pada Selasa lepas.

Susulan penahana itu, suspek ketiga berumur 30-an telah menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, berkata hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek tinggal di Malaysia sejak kira-kira tiga tahun lepas dan bekerja di sekitar kawasan industri di Hicom Glenmarie.

“Kedua-dua suspek didapati mula aktif menjalankan kegiatan memalsukan dan menjual permit palsu itu sejak Oktober.

“Suspek menjalankan kegiatan mengedar serta menjual permit palsu kepada warganegara asing dengan menawarkan harga yang lebih murah dan cepat dengan harga setiap permit dianggarkan sebanyak RM200 dan kebanyakannya dibeli oleh warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, hasil penahanan suspek, pihak polis berjaya merampas beberapa peralatan iaitu sebuah komputer riba, sebuah mesin cetak, tiga pasport, 10 pas lawatan kerja sementara dan empat telefon bimbit.

Beliau berkata, dua suspek pertama sudah direman hingga 3 Disember manakala suspek ketiga akan dibawa ke mahkamah hari ini untuk permohonan reman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles