BANGKOK – Polis Thailand menahan seorang usahawan produk pil kurus yang menyebabkan empat kes kematian ke atas pelanggan yang menggunakan produk berkenaan.
Suspek, Nuttawat, 50, ditahan di luar sebuah kondominium di daerah Huai Kwang selepas waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Wilayah Kanchanaburi pada 18 Januari lalu.
Dia didapati ‘menambah bahan secara rahsia dalam makanan, ubat atau produk lain yang boleh dimakan sehingga menyebabkan kematian’, sekali gus melanggar Akta Makanan 1979.
Pada 2018, seramai empat orang maut selepas memakan pil kurus jenama LYN dan siasatan mendedahkan bahawa pil berkenaan mengandungi bahan terlarang.
Kes kematian itu membawa kepada penangkapan Nuttawat dan pengurus lain, yang dihadapkan ke mahkamah.
Bagaimanapun, Nuttawat dibebaskan dengan ikat jamin tetapi gagal hadir perbicaraan di mahkamah selepas itu untuk mendengar keputusan selanjutnya.
Tindakan itu menyebabkan Mahkamah Wilayah Kanchanaburi mengeluarkan waran tangkap untuknya pada 18 Januari lalu.
Namun, baru-baru ini, polis berjaya menemui Nuttawat menetap di sebuah kondominium di Soi Pracharat Bampen 7 di Huai Kwang, di mana dia ditahan dan dibawa ke Mahkamah Wilayah Kanchanaburi untuk berdepan prosiding undang-undang.
Bulan lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Thailand memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengambil Kopi Gomax yang dipercayai dapat memulihkan mati pucuk.
Katanya, kopi itu dikesan mengandungi Sildenafil atau Viagra yang juga bahan kawalan terlarang dan tidak sesuai dimasukkan dalam produk makanan.
Mengambil kopi Gomax boleh menyebabkan buta dan kegagalan buah pinggang. – AGENSI