SYDNEY – Empat terbunuh manakala 12 lagi lagi cedera dalam insiden dua helikopter bertembung di udara di Australia semalam.
Nahas berlaku di pantai Queensland tidak jauh dari pantai Gold Coast, berdekatan taman tema marin, Sea World.
Nahas itu mengakibatkan sebuah helikopter jatuh di tebing pasir dalam keadaan terbalik. Kejadian itu juga menyebabkan tiga lagi dalam keadaan parah.
“Akibat pertembungan itu, empat orang telah kehilangan nyawa mereka hari ini (semalam) dan tiga lagi kritikal di hospital.
“Orang ramai dan polis membantu mangsa serta memberi bantuan kecemasan selepas membawa mereka ke kawasan yang selamat.
“Akses ke lokasi kemalangan agak sukar kerana tebing pasir dansaya berterima kasih kepada semua yang membantu,” kata pemangku inspektor polis Queensland, Gary Worrell kepada pemberita.
Jelas beliau, nahas berlaku selepas sebuah daripada dua helikopter itu sedang mendarat dan satu lagi mahu berlepas.
Biro keselamatan Australia berkata pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung pertembungan di udara itu.
Penyiasat akan memeriksa bangkai pesawat dan meneliti komponen berkaitan bagi menentukan punca nahas, dengan laporan awal dijangka dalam tempoh enam hingga lapan minggu. – AFP