WASHINGTON – Lebih 18,000 pekerja Amazon akan dibuang susulan kelembapan ekonomi dunia.
Amazon yang merupakan syarikat jualan online mengumumkan perkara berkenaan semalam.
“Kami merancang untuk menamatkan cuma lebih sedikit daripada 18,000 pekerjaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Andy Jassy dalam satu kenyataan kepada kakitangannya.
Jassy berkata, kepimpinan syarikat ‘amat sedar bahawa tindakan pemberhentian itu sukar buat pekerjanya dan tidak dibuat sewenang-wenangnya’.
“Kami sedang berusaha memberikan sokongan kepada mereka yang terjejas termasuk pakej pembayaran pemberhentian pekerjaan, manfaat insurans kesihatan dan sokongan pekerjaan luar,” kata Jassy.
Sebilangan pemberhentian itu melibatkan Eropah, katanya sambil menambah, semua pekerja yang terjejas akan dimaklumkan bermula 18 Januari ini.
Menurutnya, pengumuman mengejut itu dibuat kerana ‘salah seorang rakan sekerja kami telah membocorkan maklumat ini kepada pihak luar’.
Amazon mempunyai 1.54 juta pekerja di seluruh dunia setakat September 2022.
Syarikat itu mengumumkan pemberhentian seramai 10,000 pekerja pada November 2022. – AFP