BEIJING – Kira-kira 900 juta atau 64 peratus penduduk di China dijangkiti COVID-19 setakat 11 Januari lalu, menurut kajian Universiti Peking.
Wilayah Gansu paling tinggi dijangkiti dengan 91 peratus individu, diikuti Yunnan (84 peratus) dan Qinghai (80 peratus).
Pakar epidemiologi memberi amaran kes di China diramal meningkat di kawasan luar bandar sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina apabila ratusan juta penduduknya pulang ke kampung halaman.
Bagaimanapun hospital di bandar besar, di mana kemudahan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan mudah diakses kini menjadi sesak dengan pesakit COVID-19 kerana virus berkenaan merebak ke seluruh negara.
Wilayah Henan di tengah China adalah satu-satunya wilayah yang memberikan butiran kadar jangkitan – awal bulan ini seorang pegawai perubatan di sana berkata hampir 90 peratus penduduk sudah kembali dijangkiti COVID-19, dengan kadar yang sama dilihat di kawasan bandar dan luar bandar.
Bagaimanapun, pegawai kerajaan berkata banyak wilayah dan bandar sudah melepasi kemuncak jangkitan.
Cuti Tahun Baharu Lunar di China bermula secara rasmi dari 21 Januari, membabitkan penghijrahan tahunan terbesar di dunia.
Secara keseluruhan, kira-kira dua bilion dijangka melakukan perjalanan dan puluhan juta sudah pun mengembara.
Bulan lalu, China secara tiba-tiba meninggalkan dasar sifar COVID-19. Ia membuka semula sempadannya pada Ahad.
Data rasmi menunjukkan lima atau beberapa kematian sehari dilaporkan sepanjang bulan lalu, jumlah yang tidak konsisten dengan barisan panjang yang dilihat di rumah pengebumian dan laporan kematian di media sosial.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata China, yang berhenti melaporkan kematian akibat COVID-19 mulai Selasa lalu, sangat kurang melaporkan jumlah kematian akibat wabak itu.
Mengulas perkara itu, jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin menegaskan sekali lagi pada taklimat rutin bersama media pada Khamis bahawa Beijing sudah berkongsi data COVID dalam “cara yang tepat pada masanya, terbuka dan telus mengikut undang-undang”, selepas mengadakan pertukaran teknikal dengan WHO sejak beberapa bulan lalu.
Pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya satu juta kematian berkaitan COVID-19 di China tahun ini.
Beijing secara rasmi melaporkan hanya lebih 5,000 kematian sejak pandemik bermula, antara kadar kematian terendah di dunia. – Agensi