KUALA LUMPUR – Dua juta kenderaan dijangka menggunakan semua rangkaian lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS) pada 20, 21 dan 24 Januari ini sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Pegawai Operasi, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, berkata angka itu menunjukkan lonjakan sebanyak 20 peratus berbanding jumlah trafik pada hari biasa.
“Kami komited untuk menyediakan perjalanan yang lebih selamat dan selesa untuk orang ramai yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS pada cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
“Bagi menguruskan lonjakan trafik pada perayaan kali ini, PLUS membuat persediaan awal dan mengatur pelbagai strategi bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa ketika berada di rangkaian lebuh raya kami.
“Strategi itu merangkumi aspek keselamatan lebuh raya, pengurusan trafik dan kesesakan, pengagihan trafik, keselesaan pengguna, pengurusan lalu lintas di plaza tol, hebahan maklumat trafik dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zakaria, PLUS turut mengharapkan kerjasama pengguna motosikal dan pemandu kenderaan berat supaya lebih berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya sepanjang musim perayaan akan datang.
Katanya, PLUS turut bekerjasama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang dan advokasi di lebuh raya pada musim perayaan ini.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan di rangkaian lebuh raya PLUS termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) pada musim perayaan ini, katanya, jumlah pasukan peronda lebuh raya merangkumi PLUS Ronda dan LPT2 Ronda akan ditambah.
“Ia akan ditambah menjadi 265 pasukan bagi membantu pengguna lebuh raya yang mengalami kerosakan kenderaan atau kecemasan. Penambahan itu menjadi jumlah pasukan berkenaan meningkat sebanyak 9.1 peratus berbanding hari biasa,” katanya.
Beliau memaklumkan, PLUS akan turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di Lebuhraya Utara-Selatan dan LPT2 untuk mengagihkan trafik serta membantu orang ramai merancang perjalanan pulang ke kampung atau kembali semula ke Lembah Klang.