fbpx

Pengeluaran MyKid ditangguhkan bagi bayi baru lahir

MELAKA – Pengeluaran kad pengenalan kanak-kanak (MyKid) bagi bayi baru lahir di negara ini ditangguhkan selama enam bulan susulan masalah kekurangan bekalan mikrocip yang turut terkesan di peringkat global sejak pandemik COVID-19 melanda dunia.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh, berkata proses permohonan baharu bagaimanapun masih diteruskan, namun ibu bapa perlu menunggu untuk tempoh masa lebih lama kerana JPN akan menyelesaikan permohonan secara berperingkat.

“Ibu bapa boleh menggunakan dokumen surat beranak bagi urusan harian anak-anak mereka yang masih belum mempunyai MyKid. Surat beranak adalah dokumen pengenalan diri yang sah dikeluarkan kerajaan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau meminta semua agensi kerajaan dan swasta supaya menerima sijil kelahiran untuk sebarang urusan kanak-kanak kerana dokumen itu satu-satunya diiktiraf bagi urusan penting seperti permohonan sekolah dan sebagainya.

Terdahulu, Ruslin hadir pada majlis penyerahan MyKad pada program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Nur Aleeya Ammar, 12, di Bukit Godek, Semabok Dalam, di sini.

Katanya, MEKAR JPN yang juga program turun padang bagi urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan OKU, warga emas, pesakit terlantar dan penduduk di pedalaman, memberi impak positif sejak diperkenalkan pada 2013.

“Sehingga kini sebanyak 292,999 permohonan di seluruh negara telah dilaksanakan melalui program MEKAR melibatkan 14,340 program, termasuk Sabah dan Sarawak. Ia pendekatan produktif JPN dalam memastikan setiap penduduk di negara ini layak menikmati kemudahan ditawarkan kerajaan.

“Bagi Melaka, sebanyak 78 program seumpama ini telah dijalankan dan berjaya membantu 212 pemohon. Tahun ini sebanyak 100 program dengan 300 hingga 400 pemohonan disasarkan dapat diproses sekali gus membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Rohana Ariffin, 58, nenek yang juga penjaga Nur Aleeya, bersyukur dan berpuas hati dengan program MEKAR kerana memudahkan urusan mereka sekeluarga untuk proses permohonan MyKad cucunya yang juga OKU fizikal berikutan hanya terlantar dan tidak boleh berdiri.

Katanya, proses permohonan dokumen diuruskan pasukan Unit MEKAR JPN Melaka pada 5 Januari lalu, iaitu pada hari lahir cucunya dan dalam tempoh seminggu, kad pengenalan diterima.

“Saya mengetahui program MEKAR ini daripada anak saudara yang juga kakitangan JPN. Dalam waktu singkat, pihak mereka datang ke rumah untuk urusan proses permohonan. Kami bersyukur kerana ia sangat mudah dan cepat,” katanya. – Bernama

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles