PUTRAJAYA – Pengguna bakal menikmati tol percuma di seluruh negara pada 20 dan 21 Januari ini bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tol percuma itu meliputi semua kelas kenderaan.
“(Ada) berita baik (untuk Tahun Baharu Cina). Untuk itu, Menteri Kerja Raya (Datuk Seri Alexander Nanta Linggi) dan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke) sudah mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan setuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 Januari.
“Ia untuk memudahkan kerana ramai rakyat yang akan pulang ke kampung bukan saja (masyarakat) Cina tetapi juga Melayu, India dan yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Beliau berkata, langkah itu memberi implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM40 juta.
Masyarakat Cina di negara ini akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina pada 22 dan 23 Januari ini.