KUALA LUMPUR – Sebanyak 21 premis dikendalikan warga asing di Kenanga Wholesale City, kawasan Gombak dan Setapak di sini diarah tutup serta-merta dalam operasi penguatkuasaan bermula sejak 19 Januari hingga ke hari ini.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook berkata, tindakan khas itu dijalankan ke atas 15 buah premis di Kenanga Wholesale City susulan risikan pihaknya sejak seminggu lalu.
“Serbuan dijalankan secara mengejut ke atas 15 buah premis perniagaan barangan am melibatkan aktiviti penjualan pakaian, tekstil, alatan jahitan yang dikendalikan oleh warga Bangladesh, Indonesia dan Myanmar.
“DBKL membuat semakan ke atas 20 orang pembantu atau pengendali premis warga asing dan terus membuat tindakan penutupan serta-merta terhadap 14 buah premis menerusi Seksyen 101 (1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976,” kata hantaran itu pada Ahad.
DBKL turut mengeluarkan 15 notis kompaun terhadap premis tersebut di bawah Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 kerana tiada lesen perniagaan dan melantik pembantu tiada kebenaran.
Bagi operasi di kawasan Gombak dan Setapak, sejumlah 14 tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan meliputi tujuh notis kompaun dan tujuh tindakan penutupan dan sita premis.
“Antara premis-premis yang dikenakan tindakan penguatkuasaan ini adalah kedai perabot, pengurusan perkhidmatan konsultansi, gunting rambut, cuci kereta dan kedai jahit.
“Manakala notis-notis kompaun merangkumi UUK 3(1) dan Seksyen 101 (1)(v) Akta Kerajaan Tempatan, UUK 20 (1)(b) dan Seksyen 101 Akta Kerajaan Tempatan dan Notis Am 46 (1)(d).
“Kesemua aktiviti perniagaan ini dijalankan oleh warga asing dan terdapat juga yang menggunakan kad UNHCR,” katanya.
Kesemua barangan sitaan telah dibawa ke stor sitaan DBKL di Jalan Lombong, Cheras.