ANKARA – Hampir seminggu selepas gempa bumi kuat melanda Turkiye dan Syria, lebih 28,000 nyawa terkorban.
Puluhan ribu anggota penyelamat menjelajah di segenap kawasan kejiranan yang musnah teruk untuk mencari mangsa.
Usaha itu berbaloi apabila anggota penyelamat berjaya menarik keluar seorang bayi berusia tujuh bulan dan seorang remaja perempuan dari bawah runtuhan bangunan di Turkiye hari ini.
Bagitupun, usaha tersebut bukanlah mudah ditambah cuaca sejuk yang turut menambah kesengsaraan berjuta-juta mangsa yang amat memerlukan bantuan dari seluruh dunia.
Di selatan Turkiye, banyak keluarga masih belum berputus asa mencari anggota keluarga lain yang masih hilang.
“Kami mendengar bahawa pihak berkuasa tidak lagi akan membiarkan jenazah terbiar untuk dituntut ahli keluarga selepas beberapa tempoh masa. Mereka akan terus mengebumikan jenazah,” kata seorang penduduk di Kahramanmaras, Tuba Yolcu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 870,000 orang memerlukan bantuan makanan segar di Turkiye dan Syria.
Di Syria sahaja, sehingga 5.3 juta penduduk kehilangan tempat tempat tinggal.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, hampir 26 juta orang terjejas akibat gempa bumit tersebut ketika ia melancarkan tabung derma kilat semalam untuk mengumpul AS$42.8 juta (RM185 juta) bagi menampung keperluan kesihatan dengan kadar segera. – AFP