PETALING JAYA: “Saya sedang mengenali hati budi seseorang. Tahun lepas kami mula berkenalan. Tetapi, apa yang saya boleh kongsikan, dia bukan dalam kalangan selebriti.”
Itu pendedahan penyanyi, Sufian Suhaimi ketika diasak pertanyaan tentang status dirinya kini selepas episod duka lara yang pernah ditempuhi beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun jelas Sufian, dia tidak mahu terlalu bercerita soal peribadi dan hanya mahu memberi fokus kepada perkembangan kerjaya seni sementelah baru sahaja melancarkan single baharu, Budi.
“Nak cerita apa lagi ya? Dia seorang pelajar dan berasal dari Selangor. Itu sahaja. Sebenarnya saya tak mahu berkongsi sangat mengenai dia.
“Bukan berahsia dengan mana-mana pihak, cuma tak mahu itu menjadi tajuk utama berita tentang saya. Lebih baik kita fokus kerjaya seni, ada lagu baharu kan,” ujarnya.
Bercerita tentang lagu baharu, Budi, Sufian teruja kerana dapat menyanyikan lagu berunsur tradisional dan bergabung suara dengan duo hip hop hebat, Kmy Kmo dan Luca Sickta.
“Lagu Budi ini unik dan istimewa kerana ada elemen tradisional dan digabungkan dengan hip hop. Saya teruja kerana dapat juga berkongsi budaya dan seni dengan generasi muda menerusi lagu.
“Sebenarnya saya sudah mengikuti Kmy Kmo dan Luca Sickta ini dari dulu lagi. Memang ada banyak permintaan untuk saya bergandingan dengan mereka.
“Tetapi seronok apabila berpeluang menjayakan projek dengan Luca Sickta kerana ada yang mengatakan wajah kami ada iras,” selorohnya. (Sumber Utusan Malaysia Online)