KUALA LUMPUR: Berpindah ke Miri, Sarawak bukanlah suatu keputusan mudah buat isteri pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar yang kini dalam keadaan lumpuh akibat menderita pelbagai penyakit kronik, sukar bertutur dan dalam masa sama, menjalani dialisis empat kali sehari akibat komplikasi buah pinggang.
Nur Hidayah Cecilia Abdullah berkata, dia bersama Iskandar dan tiga cahaya mata tekad berpindah bagi memudahkan urusan menjaga suaminya yang sukar bergerak akibat strok.
“Sudah lama saya berhasrat pulang ke Miri. Jika tidak ke Miri, kami berniat pulang ke kampung Iskandar di Terengganu, namun di sana sudah tiada siapa, hanya kawan-kawan sahaja.
“Jadi, kami memutuskan pulang ke Miri. Saya juga lebih selesa di sini kerana ada sokongan adik-beradik. Ini sangat penting kerana mereka banyak membantu dan mengambil berat.
“Lima adik-beradik saya menetap di Miri, jadi lebih mudah sekiranya saya mahu memohon bantuan. Namun, jujurnya, ini bukanlah keputusan mudah, tetapi demi kebaikan suami.
“Saya percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya,” katanya kepada BH Online.
Tidak hanya itu, keperluan perubatan Iskandar mencecah RM2,500 sebulan tidak termasuk kos lain turut memaksa Nur Hidayah membuat keputusan berpindah ke Miri sejak 31 Mac lalu.
Nur Hidayah berkata, Iskandar berhadapan dengan penyakit gout sejak 10 tahun lalu.
Katanya, pada 1998, Iskandar pernah memohon berehat daripada dunia muzik kerana serangan penyakit gout tidak menentu.
Kemudiannya, katanya, Iskandar diserang strok pada penghujung 2020 sehingga membuatkannya terlantar sehingga kini.
Berkongsi keadaan terkini Iskandar, Nur Hidayah berkata, suaminya masih lemah akibat strok di bahagian anggota sebelah kiri.
“Jadi, Iskandar perlu melakukan terapi setiap hari. Sekiranya tidak, urat akan menjadi keras.
“Disebabkan itu, tiba sahaja di Miri, saya membawanya ke Hospital Miri dan Baitulmal untuk memohon bantuan katil dan sebagainya.
“Saya sedang uruskan Iskandar menjalani fisioterapi di hospital. Buat masa sekarang, saya menguruskan proses dialisis di rumah.
“Saya juga terpaksa ulang alik ke hospital untuk mengambil air bagi proses dialisis dan melakukannya sendiri.
“Sebelum ini, saya sudah menjalani kursus selama seminggu di hospital bersama Iskandar. Bila sudah lulus, barulah saya diizinkan menjalankan proses ini di rumah,” katanya.
Mengulas sumber pendapatan, Nur Hidayah berkata, dia sedang berusaha mencari pekerjaan tetap, selain memanfaatkan kemahiran mengurut wanita yang dipelajari secara formal sebagai sumber pendapatan keluarga.
“Saya belum dapat kerja memandangkan baru berpindah ke Miri. Saya sudah menghantar permohonan di pasar raya berdekatan rumah. Saya tidak boleh kerja jauh dari rumah kerana risaukan Iskandar.
“Namun, saya ada menyediakan khidmat urut untuk wanita. Disebabkan baru berpindah, jadi masih ramai belum tahu mengenai perkhidmatan urut ini.
“Kalau ikutkan sukar juga untuk saya keluar bekerja kerana Iskandar perlu sentiasa ditemani.
“Iskandar tidak seperti dahulu. Selepas ada pendarahan di sebelah kanan kepalanya, ia mengganggu penglihatan dan caranya berfikir. Ada masanya, Iskandar meracau kerana nampak ular kala jengking dan sebagainya,” katanya.
Dengan pendapatan terhad, Nur Hidayah tidak menafikan agak terbeban memandangkan turut menanggung tiga cahaya mata, namun enggan terlalu berharap kepada bantuan dan mahu mencari kerja.
“Bagaimanapun, saya tak pernah bercerita mengenai kesusahan kami. Bila rakan artis bertanya kenapa saya tidak maklumkan, saya masih boleh melakukan mana yang mampu.
“Sekiranya tidak mampu beli losyen dan lampin pakai buang, saya beli sikit. Setakat mana yang saya boleh usaha, saya usaha,” katanya.
Dalam masa sama, Nur Hidayah juga melahirkan penghargaan kepada orang ramai menghulurkan bantuan kepada Iskandar.
“Bukan darah daging sahaja yang berbuat baik, Allah tunjuk ramai yang mengambil berat mengenai Iskandar.
“Ada rakan menelefon setiap hari terutama rakan baik Iskandar, Umarul yang sangat mengambil tahu,” katanya.
Sebelum ini, Nur Hidayah menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez menyerahkan sumbangan RM5,000 daripada siri kedua program Solidariti Untuk Iskandar Spring dianjurkan sebelum Ramadan iaitu berpindah ke Miri, baru-baru ini. (Sumber Berita Harian Online)