fbpx

Hidup mewah antara faktor ahli sindiket pengedaran dadah terus aktif

Kuala Lumpur: Gelap mata dengan kehidupan mewah bakal dikecapi antara faktor utama ahli sindiket pengedaran dadah meneruskan kegiatan jenayah biarpun menyedari risiko hukuman berat menanti.

Ini terbukti apabila syabu diseludup ke pasaran gelap negara jiran Indonesia boleh mencecah RM100,000 bagi sekilogram manakala harganya meningkat RM300,000 jika diseludup ke Australia.

Berbanding pasaran dalam negara, syabu hanya mampu dijual RM36,000 sekilogram menyebabkan sindiket lebih memilih menyeludupnya ke luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, penggunaan internet dan media sosial meluas menyebabkan pengedar aktif memasarkan barang terlarang itu melalui medium WhatsApp, Telegram atau laman sesawang yang disifatkan rendah risiko.

“Walaupun sedar berdepan hukuman gantung, penjara dan sebat, namun ramai yang terbabit aktiviti ini kerana ingin hidup mewah dan mendapat hasil lumayan.

“Malah pelbagai taktik digunakan sindiket pengedaran dadah ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah itu di dalam barangan elektrik, bingkai gambar dan sebagainya,” katanya.

Katanya, JSJN memastikan pengedaran dadah dikawal kemasukannya melalui pintu sempadan.

“Kebanyakan dadah masuk dari Utara Semenanjung iaitu negara jiran dan bersempadan segi tiga emas.

“Dadah masuk melalui jalan darat, laut dan udara tetapi banyak dadah dari Utara Semenanjung menggunakan laluan laut dan darat.

“Sementara dadah diseludup ke Sabah dan Sarawak menggunakan laluan udara dengan meletakkannya di dalam ruang khas seperti dalam barangan elektrik dan bingkai gambar,” katanya.

Beliau berkata, pada 2021, 297 sindiket ditumpaskan dan 1,221 individu terbabit ditahan.

“Manakala pada tahun lalu, 241 sindiket pengedaran dadah ditumpaskan membabitkan 745 individu diberkas di seluruh negara.

“Pada tahun lalu juga, 163,697 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah di mana jumlah tangkapan itu meningkat berbanding 2021 iaitu 129,604.

“Seramai 27,287 individu ditahan tahun lalu adalah pengedar manakala 67,268 individu yang ditahan kerana memiliki dadah sementara selain 69,141 individu lagi melakukan kesalahan memasukkan dadah dalam badan,” katanya.

Tiada bau pelik ketika digunakan berbanding dadah tradisional menyebabkan pengunjung pusat hiburan gemar menggunakan dadah sintetik.

Ini menyebabkan mereka berasa lebih selamat selain mengelak kegiatan penagihan dihidu pihak berkuasa.

Antara dadah yang mendapat permintaan tinggi di pusat hiburan adalah ketamin, pil ekstasi dan pil eramin 5 yang menjadi kegilaan terutama golongan muda termasuk remaja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tiga jenis dadah itu banyak diedarkan di pusat hiburan kerana ia mudah digunakan dan tidak memerlukan peralatan ketika mengambilnya.

Menurutnya, dadah itu juga memberi kesan kepada pengguna dengan menjadikan penagih lebih bertenaga untuk berhibur sepanjang malam.

“Dadah sintetik tidak menghasilkan bau pelik apabila digunakan berbanding dadah tradisional seperti ganja dan heroin.

“Mereka berasa lebih selamat gunakan dadah sintetik bagi mengelak kegiatan dihidu masyarakat sekeliling,” katanya.

Ayob Khan berkata, penagih juga menggunakan pelbagai kaedah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk mencampurkan dadah dengan serbuk minuman dan dibungkus semula seperti bungkusan minuman biasa.

“Kebanyakan dadah jenis ketamin, pil ekstasi dan pil eramin 5 dicampurkan ke dalam minuman jus berbotol berperisa.

“Ada juga pengunjung pusat hiburan mendapatkan bekalan dadah dari luar dan membawa masuk ke dalam pusat hiburan untuk berhibur,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2021, JSJN menjalankan 175 serbuan di pusat hiburan sebelum 5,122 individu diperiksa dan 723 disyaki positif dadah.

“Manakala sepanjang tempoh 2022, sebanyak 920 serbuan dilakukan dengan 16,378 individu diperiksa dan 1,835 ditahan kerana positif dadah,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles