SUKAR untuk meninggalkan bidang seni yang sudah lama diceburi. Begitulah hakikat dialami pelakon cantik, Anzalna Nasir.
Walaupun terpaksa meninggalkan seketika bidang lakonan demi keluarga, Anzalna, 36, mengakui masih rindu berlakon dan akan kembali dalam bidang seni pada masa terdekat.
“Anak sulung, Mohamad Eidrees kini berusia empat tahun, manakala anak kedua, Mohamad Emirhan baru berusia 11 bulan dan memerlukan perhatian sepenuhnya.
“Jadi aktiviti saya sekarang banyak fokus pada keluarga. Selain itu, saya kerap ke acara-acara yang diadakan, jadi duta produk serta keluarkan koleksi jubah jenama sendiri.
“Alhamdulillah, tahun ini saya keluarkan koleksi Abaya sendiri. Ia sempena Aidilfitri dan diharap akan kekal berpanjangan,” katanya yang turut merancang mengeluarkan koleksi pakaian muslimah lain selepas ini.
Anzalna berkata, perancangan sudah lama dibuat tetapi tidak berkesempatan kerana sibuk menguruskan anak-anak.
“Tahun ini saya cakap dengan suami, Hanif Zaki, yang saya sedia nak tampil dengan koleksi pakaian dan ia jadi kenyataan. Berkenaan lakonan, saya tak pernah pun kata nak berhenti. Saya akan berlakon semula bila tiba masa yang sesuai.
“Setiap produksi yang bertemu saya pasti akan tawarkan berlakon. Suami pun sokong tak larang saya berlakon,” katanya.
Sebagai isteri, Anzalna mengakui tentunya akan memilih watak yang sesuai dengannya.
“Dah tak boleh macam dulu. Keutamaan pada anak-anak. Tak bolehlah lagi ambil drama episod yang panjang. Sebenarnya perasaan rindu berlakon ini datang apabila tengok adik-adik saya berlakon. Tengok mereka keluar TV, rasa best pula.
“Tapi saya akur rezeki di tempat lain. Rezeki saya sentiasa ada. Cuma antara nak tak nak saja. Kali terakhir saya berlakon ialah dua tahun lalu,” katanya.
Anzalna kini melayari kehidupan bahagia apabila mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohamad Hanif Zaki pada 2016.
Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Mohd Nasir menjelaskan, dia turut berbangga apabila bapanya, Prof Dr Md Nasir Ibrahim kini Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
“Ayah seorang yang begitu komited dengan kerja. Kami ada kumpulan WhatsApp keluarga dan ayah selalu minta pendapat anak-anak.
“Kami semua dah dewasa dan masing-masing beri pendapat. Kami dah tahu selok belok dunia seni. Walaupun ada yang nak jatuhkan atau sokong, saya tetap bersama ayah.
“Siapa yang sokong ayah, saya hanya bersyukur. Kalau sebaliknya yang nak jatuhkan, saya tak nak komen banyak. Bila dengar dia banyak buat perubahan pada Finas, saya rasa bangga,” katanya.
Menurutnya, bapanya pernah dimasukkan ke hospital kerana terlalu kuat bekerja.
“Walaupun dapat cuti, ayah tetap pergi kerja lepas keluar hospital. Bagi kami perkara ini merisaukan tapi bagi dia itu lebih penting.
“Tapi dia perlukan sokongan keluarga. Pastinya kami akan sokong dia. Tambah lagi dia dah berusia. Tapi dia tak pernah merungut atau mengadu penat walaupun bekerja dari pagi sampai malam.
“Selagi dia masih bekerja di bawah Finas, dia pasti akan bagi yang terbaik. Kami berbangga namun dalam hal kerja kami tak pernah gunakan ayah. Kami cari peluang dengan hasil sendiri dan tak pernah minta tolong dia untuk sesuatu projek,” katanya. (Sumber Harian Metro Online)