LIVERPOOL: Leicester tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris hanya selepas tujuh tahun menjuarainya, manakala Everton kekal bersaing dalam liga tertinggi Inggeris sejak 69 tahun selepas menewaskan Bournemouth 1-0.
Leeds juga akan kembali ke Liga Kejuaraan selepas tiga musim di Liga Perdana apabila tewas 4-1 kepada Tottenham.
Abdoulaye Doucoure muncul wira Everton selepas pemain tengah Mali itu meledak gol pada minit ke-57 aksi di Goodison Park.
Leicester terpaksa aku kembali ke Liga Kejuaraan walaupun menang 2-1 ke atas West Ham.
“Kami menunjukkan semangat juang. Kami tidak sepatutnya berada di posisi ini dan kami perlu belajar daripadanya,” kata pengendali Everton, Sean Dyche.
Menjaringkan gol menjadi masalah utama buat anak buah Dyche yang kehilangan penyerang prolifiknya, Dominic Calvert-Lewin.
Penjaga gol Bournemouth, Mark Travers beraksi cemerlang menafikan percubaan Idrissa Gueye dan Demarai Gray, namun akhirnya tewas menerusi rembatan Doucoure.
Leicester berjaya meraih kemenangan kedua dalam 17 perlawanan, namun sudah terlewat untuk menyelamatkan musim mereka.
Wout Faes menanduk masuk gol kemenangan Leicester selepas minit ke-60, tetapi penyokong di Stadium King Power sedar Everton sedang mendahului dan mereka memerlukan bantuan Bournemouth untuk menyelamatkan pasukan daripada tersingkir.
“Setiap pengurus akan memikirkan mereka sepatutnya melakukan itu dan ini, tetapi pengalaman adalah perkara yang indah.
“Anda menamatkan saingan di kedudukan sepatutnya hasil persembahan sepanjang musim. Saya tiba hanya untuk tujuh minggu dan lapan perlawanan bagi menyelamatkan kelab, malangnya saya gagal,” kata pengendali Leicester, Dean Smith.
Leeds pula perlu mengharapkan beberapa keputusan perlawanan lain namun jaringan minit kedua Harry Kane di Elland Road menutup peluang mereka sepenuhnya.
“Ia membunuh diri secara profesional. Kami melakukan kesilapan kritikal di waktu yang salah,” kata pengendali Leeds, Sam Allardyce.
Pedro Porro menambah jaringan untuk Spurs di awal babak kedua dan Kane meledak gol ke-30 liga musim ini selepas Jack Harrison merapatkan kedudukan buat Leeds.
Lucas Moura melengkapkan kemenangan dengan sepakan terakhirnya untuk Spurs selepas lima tahun menyarung jersi kelab itu.
Kemenangan Spurs tidak cukup buat mereka untuk layak ke Liga Konferens Eropah musim depan selepas Aston Villa menewaskan Brighton 2-1 untuk mengesahkan kedudukan di tangga ketujuh.
Manchester City yang sudah bergelar juara akhirnya tewas buat kali pertama selepas 25 perlawanan apabila Brentford menewaskan anak buah Pep Guardiola 1-0.
Ethan Pinnock menjaringkan gol tunggal permainan lima minit sebelum tamat untuk The Bees melengkapkan kemenangan berganda ke atas City musim ini.
Arsenal menebus kekecewaan terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris dengan menewaskan Wolves 5-0.
Manchester United mengesahkan kedudukan di tangga ketiga dengan kemenangan 2-1 ke atas Fulham, manakala Newcastle diikat 1-1 oleh Chelsea untuk kekal di tangga keempat.
Southampton yang sudah tersingkir, mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Perdana Inggeris dengan mengikat Liverpool 4-4 di St Mary’s. – (Sumber Berita Harian Online)