fbpx

Sesi Townhall 3 – Isu ketirisan Dana Kandungan Digital jadi topik hangat

KUALA LUMPUR: Isu ketirisan Dana Kandungan Digital (DKD) termasuk dakwaan penerbit digelar ‘jerung’ mendapat bantuan kerajaan, menjadi antara topik hangat dibangkitkan penggiat seni pada sesi Town Hall Industri Kreatif Siri 3 : Industri Filem di RexKL di ibu negara, kelmarin.

Selain itu, isu beban cukai dan sesi saringan agihan atau ‘pitching’ yang didakwa berat sebelah diutarakan, memperlihatkan penggiat seni bangkit bersuara bagi meluahkan apa yang dikatakan kepincangan dalam industri kreatif tempatan.

Semua permasalahan itu dikemukakan kepada ahli panel diketuai Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Prof Dr Md Nasir Ibrahim.

Sesi dialog itu dikendalikan pelakon dan pengacara Nazrudin Habibur Rahman atau Naz.

Ahli panel diketuai Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS. Prof Dr Md Nasir Ibrahim dan dikendalikan Nazrudin Habibur Rahman

Pada sesi dialog awam itu, pemain industri kreatif mempersoalkan kredibiliti agensi kerajaan apabila mendakwa kebanyakan penerima DKD adalah dalam kalangan digelar ‘jerung’.

“Saya hairan mengapa ada antara penerima DKD adalah dalam kalangan syarikat produksi yang pernah mendapat kutipan (hasil tayangan produk) berjuta-juta ringgit.

“Berilah peluang itu kepada golongan seperti kami supaya usaha untuk menerbitkan filem dapat direalisasikan,” kata seorang pembikin filem pada forum itu.

Lebih menjengkelkan, dakwa peserta town hall, ada individu serupa yang menggunakan syarikat produksi berbeza ketika membuat permohonan, beroleh dana kerajaan.

Mereka juga mendakwa individu terbabit adalah penerima dana sebelum ini, namun, gagal menyiapkan projek mereka.

Menjawab persoalan itu, Fahmi berkata, kerajaan akan lebih tegas dan bersikap telus supaya isu sama tidak berulang.

“Ini bukan suatu perkara yang eksklusif kepada industri perfileman sahaja, malah, berlaku dalam bidang lain.

“Kalau boleh, kita hendak kekang perkara ini daripada berterusan.

“Disebabkan itu, saya minta FINAS senaraikan semua penerima DKD dari 2017 hingga 2022 untuk dipamerkan di laman web mereka.

“Saya harap pada masa akan datang, kita beri peluang kepada mereka yang belum pernah terima dana tetapi ada idea baik, usaha dan berpengalaman.

“Kita juga akan masukkan perkara ini sebagai syarat penerimaan. Mungkin kita juga boleh belajar dari luar negara iaitu apabila mereka beri dana, pengumuman dibuat,” katanya.

Tampil meluahkan rasa kecewa terhadap dilema dihadapi penerbit filem, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris mahu kerajaan mengkaji semula beberapa cukai serta duti hiburan ke atas penerbit yang dianggap membebankan.

Antara penggiat seni yang hadir

“Kami sebagai penggiat industri perfileman, daripada peringkat pra produksi sampai dapat tarikh wajib tayang, proses ini perlu ambil masa dua tahun.

“Selepas filem siap, pihak yang untung dahulu adalah Lembaga Penapis Filem (LPF) melalui bayaran yang dikenakan bagi mendapatkan Perakuan Tapisan Filem iaitu Sijil A dan Sijil B.

“Seterusnya, apabila kita cuba dapatkan kutipan terbaik, kerajaan untung dahulu melalui duti hiburan sebanyak 25 peratus.

“Selepas itu, kami terpaksa ‘bergaduh’ dengan pengendali pawagam berhubung peratusan potongan cukai yang dikenakan.

“Akhirnya dengan baki kutipan yang diperoleh, kami terpaksa bayar cukai pendapatan syarikat sebanyak 24 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Zahrin menyarankan agar melaksanakan sistem levi RM1 untuk pembelian tiket.

“Selain itu, hapuskan 25 peratus cukai hiburan pada semua peringkat. Semua kutipan itu boleh disalurkan kepada FINAS untuk membangunkan industri filem,” katanya.

Sementara itu, berhubung isu ‘pitching’ yang didakwa tidak telus dan hanya dimonopoli syarikat produksi tertentu, Md Nasir menafikan perkara itu.

“Biasanya permohonan ditolak disebabkan kegagalan syarikat produksi meyakinkan panel ketika sesi penilaian dibuat.

“Syarikat terbabit ada idea dan cerita yang bagus, namun, individu yang membuat pembentangan gagal menyampaikannya dengan baik.

“Selain itu, isu dokumen tidak lengkap juga menjadi antara punca mengapa permohonan mereka gagal,” katanya.

Pada sesi dialog itu, Fahmi turut meminta maaf kepada penggiat seni jika ada dalam kalangan mereka berpendapat perkhidmatannya selama enam bulan sebagai Menteri Komunikasi dan Digital, tidak memuaskan.

“Saya minta maaf kalau ada yang fikir enam bulan ini belum baik lagi. Saya setuju dengan pandangan itu.

“Saya mahu setiap pandangan diambil kira untuk diusahakan dan diusulkan.

“Saya harap kita tidak akan berhenti berkarya dan menerbitkan kisah-kisah berkaitan kehidupan kita,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles