fbpx

Wanita terlepas hukuman tali gantung

SEREMBAN: Seorang wanita yang terpaksa melahir dan membesarkan anaknya di dalam penjara terlepas daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Seremban hari ini, melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis 237.86 gram, kira-kira dua tahun lalu.

Hakim, Datin Rohani Ismail memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie (keraguan munasabah) ke atas tertuduh, R. Devaki, 34, yang merupakan suri rumah serta ibu kepada empat orang anak.

Rohani dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan berkata, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh tanpa perlu membela diri selepas membuat penilaian menyeluruh.

“Tertuduh dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie terhadap tertuduh. Pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemukan,” kata hakim.

Hakim turut menasihatkan tertuduh untuk sentiasa menjaga diri terutama ketika berkawan.

Tertuduh dilepaskan selepas pihak pendakwaan gagal menimbulkan “prima facie” terhadap tertuduh

“Jaga diri awak. Kalau mahu berkawan jaga sikit, jangan berkawan dengan sesiapa sahaja,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Devaki didakwa telah mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 237.86 gram kira-kira pukul 7.30 malam di Bandar Dataran Segar di Port Dickson, 4 Ogos 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 17 April lalu, seramai lapan orang saksi dipanggil memberi keterangan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Maleeha Syed Hussin manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Wan Emyra Ismail.

Haresh ketika ditemui selepas selesai prosiding kes berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan satu kes prima facie iaitu tidak dapat membuktikan bahawa tertuduh mempunyai jawapan dan milikan ke atas tuduhan.

“Wanita ini sedang hamil lima bulan semasa ditangkap polis dan melahirkan seorang anak lelaki di Penjara Sungai Udang (Melaka). Anak lelaki itu dibesarkan di dalam penjara semenjak Disember 2021 dan kini berusia 17 bulan,” katanya.

Sementara itu, Devaki meluahkan rasa gembiranya dibebaskan dari tuduhan berkenaan dan menerima nasihat hakim untuk berhati-hati dalam memilih kawan.

Malah menurutnya, dia juga berterima kasih kepada mahkamah, hakim dan peguam kerana telah mempercepatkan kesnya itu yang sepatutnya pada Oktober nanti.

“Sebab saya ada anak dan dibesarkan di penjara, jadi kes dipercepatkan dari bulan Oktober ke hari ini. Saya berterima kasih kepada semuanya,” katanya. – (Sumber Utusan Malaysia Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles