fbpx

Hospital Kuala Lumpur bakal kekurangan doktor

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijangka mengalami kekurangan pegawai selepas 300 orang dijangka dipindahkan keluar dari Lembah Klang.

Pemindahan itu dijangka bermula hujung Julai membabitkan 1,000 pegawai perubatan yang bertugas di hospital sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut portal berita kesihatan, CodeBlue, pemindahan untuk penempatan tetap yang membabitkan 4,200 pegawai perubatan itu akan menjejaskan HKL kerana pusat itu dijangka kehilangan 300 pegawai perubatan, majoriti dikatakan akan dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

Portal itu memetik sumber dari HKL yang berkata, hospital yang memiliki 53 jabatan dan unit itu dijangka menerima 100 penempatan pegawai perubatan melalui sistem eHousemen.

Seorang doktor yang hanya dikenali sebagai Dr Daniel berpendapat penunjuk utama yang perlu dipertimbangkan ialah nisbah doktor kepada pesakit.

“Saya rasa kita perlu melihat nisbah doktor kepada pesakit. Kita bukan sahaja bercakap hal berkhidmat kepada penduduk tempatan, tetapi juga orang asing.

Kekurangan Doktor di HKL disebabkan 1000 doktor dijangka dipindahkan ke luar Lembah Klang

“Di HKL, di jabatan kecemasan saja, kami mempunyai kira-kira 100 pegawai perubatan, dan mungkin ada yang berhujah bahawa ia sudah jumlah yang besar.

“Secara keseluruhannya, HKL mempunyai sembilan hingga 10 zon kecemasan yang memerlukan perhatian.

“Jika bilangan pegawai perubatan yang kita ada sekarang adalah ‘besar’, kita tidak akan melakukan dua atau tiga syif,” katanya.

Sementara itu di Selangor, berdasarkan maklumat awal Kementerian Kesihatan (KKM), Hospital Selayang dijangka kehilangan paling ramai doktor kontrak dengan 120 pegawai perubatan untuk penempatan tetap.

Ini diikuti Hospital Serdang (107), Hospital Sungai Buloh (104), Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang (93), dan Hospital Ampang (55).

Walaupun dilaporkan bakal kehilangan 120 pegawai perubatan, Hospital Selayang tidak dimasukkan sebagai senarai pilihan dalam sistem eHousemen bagi membolehkan hospital itu menerima ketibaan pegawai baharu.

Selain Hospital Selayang, kemudahan lain yang terjejas termasuk Hospital Shah Alam (45), Hospital Kajang (40), Hospital Banting (36), Hospital Cyberjaya (17), Hospital Tanjong Karang (11), Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di Sabak Bernam (tujuh), Hospital Kuala Kubu Bharu (lima) dan Hospital Orang Asli Gombak, dua.

Walaupun hospital Selayang dan Sungai Buloh dikatakan menghadapi satu aliran keluar tenaga kerja yang paling teruk, CodeBlue melaporkan tiada pegawai ditempatkan untuk penempatan tetap di sana.

Rata-rata pegawai perubatan di HKL dan Hospital Selayang menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan peningkatan beban kerja pada kakitangan sedia ada.

CodeBlue turut melaporkan selain hospital, pegawai perubatan yang berkhidmat di klinik kesihatan awam di Selangor turut terbabit dalam pemindahan itu. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles