PETALING JAYA – Dikecam ramai gara-gara kegedikan melampau sebagai hos bersama program realiti All Stars Gegar Vaganza (GV10) disamping dua pengacara lain Nabil Ahmad dan jihan Muse, Kak Lina Pom Pom memutuskan untuk tidak lagi ‘mengacarakan’ acara tersebut untuk minggu-minggu berikutnya.
Kak Lina menerusi Instagram berkata, demi menjaga hati ramai pihak, dia terpaksa mengambil pendekatan sedemikian.
“Selepas Kak Lina membaca kesemuanya, sudah tiba waktunya Kak Lina tidak perlu ada di pentas GV demi menjaga hati kalian dan semua pihak.
“Kak Lina meletakkan kesemua kesalahan pada diri sendiri. Niat Kak Lina untuk menghiburkan tapi lain pula jadinya. Buat semua orang tak berminat nak tengok GV pula. Sekali lagi, Kak Lina meletakkan kesalahan pada diri sendiri,” coretnya.
Katanya, dia hanya mencari rezeki di pentas GV yang merupakan program hiburan kegemaran ramai rakyat Malaysia.
“Demi kebaikan semua pihak, Kak Lina tidak akan muncul lagi di GV. Minta maaf segala kekhilafan ya. Kak Lina tak bermaksud apa-apa. Memang nak menghiburkan sahaja.
“Jaga diri ya semua. Terima kasih di atas segala kemanisan yang Kak Lina rasa sebelum ini. Terima kasih banyak-banyak,” katanya lagi. Bagaimanapun, posisi yang ditinggalkan ‘alter ego’ figura itu akan diisi sendiri oleh Elly Mazlein. Bermakna, Elly Mazlein akan mengacara
program hiburan nombor satu negara itu dengan menjadi Elly barangkali dengan formaliti yang lebih tertib dan teratur.
“Insya-Allah, Elly Mazlein akan mengggantikan Kak Lina di GV nanti. So, I’ll sign off (Kak Lina akan tarik diri),” ujarnya.
Terdahulu, konsert minggu pertama GV10 menerima cemuhan dan kecaman ramai disebabkan tiga pengacara iaitu Nabil, Jihan dan Kak Lina sebagai hos sekali gus membuatkan ramai kurang senang kerana situasi atas pentas disifatkan segelintir pihak sebagai menyerabutkan. – (Sumber Kosmo Online!)