fbpx

Tarikan ekopelancongan baru di Sabah

Taman-Taman Sabah melihat wujud potensi untuk membangunkan aktiviti ekopelancongan dan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu di laluan dinamakan Marai Parai, di Kota Belud.

Pengarahnya, Dr Maklarin Lakim, berkata potensi laluan itu berdasarkan dapatan awal kajian Ekspedisi Saintifik Marai Parai – Gurkha Hut 2023 di Taman Kinabalu yang bermula pada 7 Oktober lalu.

Katanya, Taman-Taman Sabah bersama penyelidik dari beberapa institusi menjalankan pelbagai kajian di lokasi berkenaan sepanjang ekspedisi dua minggu itu yang berakhir hari ini.

Pengumpulan data saintifik hasil daripada ekspedisi itu dijadikan panduan pembangunan laluan Marai Parai ke puncak Gunung Kinabalu yang bermula dari Kampung Kiau, di sini.

“Data ini maklumat sangat berharga untuk membantu dalam merancang laluan dengan berkesan dan berpengetahuan dalam konteks kelestarian alam sekitar.

Sesi penerangan mengenai Marai Parai diadakan sempena Ekspedisi Saintifik Marai Parai

“Selain pengumpulan data, ekspedisi ini juga bertujuan melengkapkan pelan pengurusan laluan Marai Parai bagi memastikan ia dapat digunakan dengan selamat tanpa mengganggu ekosistem semula jadi dan keunikan alam sekitar.

“Ekspedisi ini turut mengenal pasti elemen ekopelancongan yang ada di sepanjang laluan Marai Parai,” katanya pada Majlis Penutupan Ekspedisi Saintifik Marai Parai – Gurkha Hut 2023 di Kampung Kiau Nulu, di sini, semalam.

Marai Parai bermaksud rumput menyerupai padi dalam bahasa Dusun adalah dataran tinggi yang terletak di bahagian barat laut Gunung Kinabalu yang menjadi habitat penting beberapa spesies periuk kera termasuk Nepenthes rajah, Nepenthes burbidgeae, Nepenthes lowii, Nepenthes edwardsiana, Nepenthes fusca, dan Nepenthes tentaculata.

Elemen ekopelancongan di sepanjang laluan 24 kilometer itu penting dalam mempromosikan pelancongan lestari dan menjaga keindahan alam semula jadi yang boleh memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menjana pendapatan.

Beliau menyifatkan ekspedisi di dataran tinggi itu pencapaian sangat signifikan dalam usaha mengenal pasti dan mengkaji laluan Marai Parai menuju ke puncak Gunung Kinabalu.

Antara tumbuhan yang terdapat di Marai Parai

“Skop kajian yang luas dalam ekspedisi ini merangkumi pelbagai bidang termasuk biologi, geologi, sosiologi, hidrologi dan biodiversiti.

Ini menunjukkan komprehensif pendekatan kita dalam memahami dan menjaga kawasan yang sungguh unik ini.

“Kawasan Marai Parai ini berperanan penting dalam sejarah pendakian Gunung Kinabalu, dengan pendakian pertama ke Marai Parai oleh Sir Hugh Low dan Sir Spenser St John yang direkodkan pada 1858,” katanya.

Sebelum ini, beberapa ekspedisi saintifik Taman-Taman Sabah juga pernah dibuat di Marai Parai, pada 1983 diselaras ahli ekologi, Anthea Phillipps dan pada 1993 diselaraskan bekas Pengarah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr Jamili Nais.

Bagi ekspedisi saintifik kali ini, seramai 100 penyelidik mewakili 10 agensi iaitu Taman-Taman Sabah termasuk Jabatan Perhutanan Sabah dan universiti tempatan menyertainya.

Seramai 64 malim gunung dan porter daripada Kampung Kiau turut terbabit dalam ekspedisi berkenaan. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles