fbpx

Biodiversiti marin Pulau Sembilan perlu dipulihara, elak kepupusan

IPOH: Kekayaan biodiversiti marin di Pulau Sembilan akan mengalami kemerosotan dan kepupusan sekiranya tidak dijaga dan dipulihara, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Justeru, beliau menuntut komitmen semua pihak untuk sama-sama menyayangi dan memelihara khazanah yang terdapat di gugusan pulau itu daripada rosak atau musnah angkara perbuatan tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, pulau itu yang diiktiraf sebagai taman negeri merupakan salah satu daripada khazanah Perak yang tidak terhitung nilainya lantaran memiliki keindahan yang menakjubkan selain amat terkenal dengan kekayaan dan kepelbagaian biodiversiti marin.

“Dewasa ini, ekosistem marin berdepan pelbagai ancaman sama ada melibatkan akibat aktiviti manusia mahu pun ancaman semula jadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengharap kerjsama semua pihak memulihara Pulau Sembilan

“Umum mengetahui, isu perubahan iklim turut memberi kesan kepada lautan dan ekosistem marin akibat peningkatan dan pengasidan air laut, kelunturan karang serta hakisan pantai,” katanya berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023 di sini hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir pada majlis tersebut.

Menurut Saarani, laporan daripada World Ocean Summit menganggarkan kadar kehilangan habitat marin adalah sebanyak 0.2 peratus hingga 7 peratus setahun.

Oleh itu, tegas beliau, program konservasi di Pulau Sembilan seperti dilakukan Perbadanan Taman Negeri Perak pada 23 September lalu, sangat penting di tengah-tengah isu sampah sarap yang dilaporkan semakin meruncing serata dunia.

Jelasnya, selain aktiviti pembuangan sampah, sektor pelancongan yang tidak mapan turut menjejaskan kelestarian destinasi dan produk.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023 (Sumber Gambar – Utusan Malaysia Online

“Kita perlu mengambil iktibar bagaimana destinasi pelancongan terkemuka seperti Gunung Everest, Machu Picchu and Stonehenge terkesan akibat pembuangan sampah sarap tinggalan pelancong,” ujarnya.

Beliau memaklumkan Pulau Sembilan telah diwartakan sebagai Taman Negeri kira-kira 13 tahun lalu bagi memastikan khazanah alam yang terdapat di kepulauan itu terus dipulihara dan diletakkan di bawah seliaan Perbadanan Taman Negeri Perak yang bertanggungjawab menjaga biodiversiti taman-taman negeri meliputi daratan dan marin.

Katanya, ia terdiri daripada sembilan pulau kecil iaitu Pulau Rumbia, Pulau Lalang, Pulau Agas, Pulau Payung, Pulau Saga, Pulau Nipis, Pulau Buluh, Pulau Batu Putih, dan Pulau Batu Hitam.

Jelasnya, ia merupakan salah satu fokus utama pelancongan berasaskan penyelidikan di Perak selain ekopelancongan Royal Belum dan geopelancongan Geopark Lembah Kinta dan Taman Alam Kinta.

Jelasnya, dunia pelancongan turut mengabsahkan hakikat bahawa pantai Pulau Sembilan mempunyai keunikannya yang tersendiri iaitu pantai bercahaya biru pada waktu malam yang digelar ‘Blue Tear’ atau ‘Blue Sand’, terhasil daripada Phytoplankton yang banyak terdapat di sepanjang pesisiran pantai pulau tersebut.

Difahamkan juga, jelas beliau, pulau itu menjadi ‘syurga’ kepada beberapa spesis kuda laut dan terumbu karang yang sudah hampir pupus.

Katanya, terumbu karang dari jenis diploastrea heliopora yang dikategorikan sebagai hampir pupus masih boleh didapati di Pulau Payung, Pulau Lalang dan Pulau Nipis. – Sumber Utusan Malaysia Online

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles