JIKA diukur daripada prestasi semasa, Malaysia dijangka tidak berdepan masalah untuk menewaskan Vietnam pada aksi ketiga Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2020 di Stadium Bishan malam esok.
Ramalan itu berdasarkan kejayaan skuad Harimau Malaya membelasah Kemboja 3-1 dan Laos 4-0 dalam dua aksi pertama peringkat kumpulan sebelum ini.
Namun, anak-anak buah Tan Cheng Hoe tidak boleh memandang rendah kemampuan sebenar Vietnam.
Selaku juara bertahan, Vietnam sudah pasti akan turun dengan keyakinan yang tinggi untuk menewaskan Malaysia, sekali gus mengulangi kejayaan pada final 2018.
Pada perlawanan akhir pertama itu, kedua-dua pasukan seri 2-2 di Stadium National Bukit Jalil sebelum anak-anak buah Park Hang-seo mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Mi Dinh hasil jaringan tunggal penyerang, Nguyen Anh Duc seawal minit keenam.
Malaysia tewas kepada Vietnam dengan agregat 2-3.
Selain itu, Vietnam juga mempunyai kelebihan berbanding Malaysia berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan.
Sehingga kini, Malaysia dan Vietnam sudah bertemu sebanyak 15 kali. Daripada pertemuan itu, Vietnam menang 11 kali iaitu enam perlawanan di gelanggang sendiri dan lima kali di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia pula hanya menang tiga kali iaitu dua di gelanggang sendiri dan satu di tempat lawan manakala seri sekali di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pada aksi Kelayakan Piala Dunia pula, Malaysia tewas kepada Vietnam dalam kedua-dua perlawanan manakala pada kempen Kejuaraan AFF, Vietnam menang lima daripada sembilan perlawanan.
Selain itu, Malaysia juga tewas kepada Vietnam pada perlawanan tunggal Sukan SEA dan persahabatan antarabangsa.
Pada pertemuan malam esok, Cheng Hoe perlu lebih bijak untuk membaca strategi yang bakal ditampilkan rakan sejawatannya di Vietnam.
Hang-seo dari Korea Selatan merupakan arkitek yang membantu kejayaan Vietnam memenangi Piala AFF Suzuki 2018.
Beliau sangat berpengalaman kerana pernah memainkan peranan yang besar di belakang Guus Hiddink ketika Korea Selatan melakar kejayaan pada Piala Dunia 2002.
Selain pemain pertahanan tengah, Que Ngoc Hai, 28, yang dianggap sebagai kapten paling berpengaruh di tengah padang, Hang-seo juga mempunyai perancangan yang tertentu untuk pemain tengah sedang meningkat naik, Nguyen Quang Hai.
Quang Hai, 24, dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Jepun dan kelab-kelab terbaik Eropah kerana memiliki kehebatan kaki kiri.
Cheng Hoe juga mempunyai barisan pemain yang tidak kurang hebatnya seperti pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar, 33, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Razak, 34, di posisi pertahanan dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, 32.
Baddrol beraksi dengan cemerlang untuk mengemudi jentera tengah Harimau Malaya dalam kedua-dua perlawanan pertama Kumpulan B.
Pemain baharu Sabah kelahiran Kedah ini menjadi watak penting yang membantu pemain pertahanan, Shahrul Mohd. Saad menjaringkan gol ketiga Malaysia ketika menewaskan Laos pada Jumaat lalu.
Baddrol bijak membaca pergerakan Shahrul sebelum melorongkan bola tepat ke kaki pemain Johor Darul Ta’zim tersebut.
Namun, pemain tengah, Muhammad Safawi Rasid, 24, berada pada prestasi terbaik ketika ini terutamanya selepas meledakkan hatrik ketika Harimau Malaya membelasah Laos.
Pemain Johor Darul Ta’zim kelahiran Terengganu ini turut menyumbat satu gol ketika Malaysia menewaskan Kemboja 3-1, sekali gus muncul sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan empat gol.
Cheng Hoe juga mempunyai beberapa lagi pemain yang hebat tetapi masih belum diberi peluang untuk beraksi sepenuhnya.
Ketika ini, jentera serangan yang diketuai Luqman Hakim Shamsudin, 19, dan penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula, 35, masih belum menunjukkan prestasi sebenar.
Berdasarkan statistik kedua-dua pasukan, perlawanan malam esok dijangka lebih menarik untuk disaksikan oleh jutaan peminat Harimau Malaya.