26 DIS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan RM5.4 juta menerusi peruntukan darurat bagi kerja pembersihan, kutipan dan pelupusan sisa banjir kepada lima negeri terjejas banjir, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM2.9 juta diagihkan kepada Pahang, Selangor (RM2.1 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM255,671), Melaka (RM145,196) dan Negeri Sembilan (RM23,684).
“Pahang dan Selangor adalah negeri yang besar, jadi ia memerlukan lebih peruntukan untuk tujuan itu. Soal pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal adalah di bawah tanggungjawab KPKT, namun kerjasama kerajaan negeri juga diperlukan.
“Petugas SWCorp juga sudah turun ke lapangan dan kami turut bayar gaji pekerja pembersihan melalui peruntukan itu. Setakat ini, SWCorp menggerakkan 234 unit jentera dan peralatan khusus bagi membantu kerja pasca banjir di seluruh negara.
“Peruntukan ini mungkin ditambah jika ada keperluan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau dan mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Puom, di sini, hari ini.
Pada 22 Disember lalu, KPKT bersama agensi di bawahnya mengumumkan peruntukan lebih RM60 juta bagi usaha pemulihan banjir di seluruh negara.
Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, KPKT turut melipatgandakan aset, selain bekerjasama dengan kementerian lain, termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi mempercepatkan operasi pasca banjir dan pembersihan awam di kawasan terjejas.
Katanya, KPKT juga akan menambah tong Roll On Roll Off (Roro) terutama di Selangor bagi mengatasi masalah timbunan sampah dan mengelak penyebaran penyakit serta memastikan kesihatan rakyat diutamakan. – BERNAMA