12 JAN: Semua kuil Hindu di seluruh negara dilarang melakukan perarakan kavadi ketika sambutan perayaan Thaipusam pada 18 Januari ini.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique berkata perayaan itu tertaktuk kepada prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Di bawah SOP Fasa 4 PPN, perarakan kavadi tidak dibenarkan manakala individu berumur bawah 18 tahun tidak dibenarkan menghadiri perayaan itu.
“Semua kuil di seluruh negara akan diguna pakai SOP yang sama.
“Cuma jumlah kehadiran penganut berbeza mengikut saiz ruang kuil,” katanya pada sidang media di pejabat HRDCorp, Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.
Halimah turut mengumumkan bahawa pergerakan kereta pedati dibenarkan dengan syarat hanya disertai oleh pihak pengurusan kuil, sementara penganut tidak dibenarkan termasuk dilarang menunggu di lokasi hentian kereta pedati berkenaan.
Menurutnya, bilangan penganut di Kuil Sri Subramaniam, di Batu Caves pula dihadkan kepada 6,000 orang sehari.