KUALA LUMPUR: Indonesia menghentikan sementara penghantaran pekerja ke Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
Ia susulan wujud salah faham dalam penggunaan sistem yang sudah dimeterai untuk digunakan sebelum ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata pihaknya sudah menghantar maklum balas itu kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berhubung perkara itu.
“Mana-mana proses pengambilan yang sudah diluluskan sebelum ini akan diteruskan, cuma permohonan baharu tidak dilakukan.
“Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai April lalu menyatakan System Maid Online (SMO) tidak digunakan lagi, namun ia didapati masih digunakan.
“Berdasarkan MoU itu, kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu One Channel System (OCS), justeru saya tidak pasti mengapa ini masih berlaku.
“Ia jelas melanggar MoU yang ditandatangani di hadapan Presiden dan Perdana Menteri kedua-dua negara,” katanya hari ini.