MELAKA – Seorang ibu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan mengabaikan tiga anak kandungnya tanpa jagaan selama empat bulan.
Bagaimanapun, Masanizah Roslan, 40, yang hamil tiga bulan mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut yang dibicarakan dihadapan Hakim Nariman Badruddin.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu am sekolah didakwa dengan cuai meninggalkan tiga anak kandungnya yang ketika kejadian berusia enam, lapan dan 11 tahun tanpa jagaan.
Tindakan itu mungkin menyebabkan mereka mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Gadong Perdana dalam daerah Melaka Tengah antara 23 Mei 2021 sehingga 25 September 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Difahamkan, ketiga-tiga anak tersebut merupakan hasil perkahwinan pertamanya dan kesemua mereka kini dijaga oleh ibu saudara kepada bekas suami.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 September depan bagi serahan dokumen.