KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket penipuan tawaran kerja melalui pusat panggilan dalam aplikasi Shopee yang menyasarkan mangsa dari Indonesia, di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata dalam serbuan itu, dua lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 31 tahun yang berperanan sebagai pekerja di pusat panggilan itu ditahan.
Katanya, turut dirampas enam unit komputer riba, 12 telefon bimbit pelbagai jenama dan 10 keping kad sim prabayar.
“Hasil siasatan awal mendapati terdapat unsur penipuan atas talian melalui penggunaan talian prabayar sebagai akses internet dan komputer riba yang dirampas.
“Semua suspek yang ditahan ini dikesan saling bekerjasama sejak satu hingga empat bulan lalu dan menerima tawaran ini melalui laman sosial Facebook,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amihizam berkata, pekerja sindiket menerima gaji antara RM3,000 hingga RM3,500 sebulan selain ditawarkan komisyen antara empat peratus dan lima peratus daripada kutipan keseluruhan dalam sebulan.
“Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak mudah percaya pada tawaran peluang pekerjaan yang tidak jelas namun menjanjikan pulangan wang yang lumayan,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh membuat semakan di nombor telefon dan nombor akaun di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.