ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 20 orang maut apabila lori membawa muatan minyak bertembung dengan sebuah bas menyebabkan kedua-dua kenderaan terbakar di Pakistan.
Bagaimanapun punca sebenar kemalangan yang berlaku berhampiran bandar Multan itu masih tidak dapat dipastikan.
Menurut jurucakap polis menerusi satu kenyataan, kedua-dua kenderaan itu terbakar sejurus kemalangan, namun tidak memperincikan angka korban.
Agensi berita Geo dan Dunya TV melaporkan sekurang-kurangnya 20 mangsa terkorban.
Seorang pegawai penyelamat memberitahu, enam penumpang disahkan selamat.
“Api sedang marak ketika kami tiba di lokasi kejadian,” katanya. – REUTERS