BUDAPEST – Ketua perkhidmatan ramalan cuaca di Hungary dan timbalannya dipecat kelmarin, selepas ramalan cuaca buruk mengakibatkan pertunjukan bunga api besar-besaran yang dirancang di Budapest pada Sabtu lalu ditangguhkan.
Menteri Teknologi dan Industri, Laszlo Palkovics memecat Kornelia Radics dan Gyula Horvath daripada Agensi Meteorologi Kebangsaan (NMS) kerana tiada cuaca buruk berlaku pada hari pertunjukan itu dirancang.
Kementerian itu tidak memberikan ulasan lanjut, malah usaha untuk mendapat reaksi pegawai kerajaan tidak berhasil.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas media prokerajaan mengkritik agensi cuaca, susulan ramalan akan berlaku ribut petir dan tiupan angin yang menyebabkan pembatalan pertunjukan bunga api, Sabtu lalu.
“Mereka memberikan maklumat yang mengelirukan mengenai tahap cuaca buruk, turut mengelirukan pasukan operasi yang bertanggungjawab untuk keselamatan,” kata portal, Origo.
Pada 2006, kemeriahan festival itu serta-merta bertukar menjadi acara berkabung akibat ribut ganas yang mengorbankan lima orang dan mencederakan ratusan individu.
Dalam pada itu, agensi NMS memohon maaf pada Ahad, memetik faktor ketidakpastian yang wujud dalam profesion meteorologi.
Pertunjukan bunga api itu yang dikatakan yang terbesar di Eropah, bagi meraikan Hungary yang berusia 1,000 tahun dijadualkan semula pada Sabtu depan. – AP