PETALING JAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara membuat keputusan tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan itu dibuat bagi memastikan persiapan menangani bencana banjir di tiga negeri terbabit berjalan lancar.
“Oleh demikian saya dan parti Amanah yang mempunyai pendirian sama pada peringkat awal, DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka.
“Tapi akhirnya Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) memutuskan bahawa kita PH dan tiga negeri (dibawah pentadbiran) PH akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri, supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir,” jelasnya dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, keputusan diambil selepas perbincangan bersama DAP dan Amanah serta wakil rakyat di beberapa negeri terbabit.
Jentera kerajaan yang sah ketika ini perlu memberi tumpuan kepada persiapan menangani banjir dan bukannya pilihan raya.
“PH adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka, apa alasan kita buat keputusan bersama. Pertama kita menolak kerakusan pemerintah memaksa pilihanraya dalam keadaan rakyat derita susah menghadapi banjir.
“Kedua, kita mahu jentera kerajaan yang sah dan punyai mandat menumpukan bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka, tetapi sepenuhnya tumpu persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir,” jelasnya lagi.
Turut hadir dalam sidang media itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu. – Awani