IMPIAN perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia untuk beraksi pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir di Bangkok, Thailand bulan depan musnah selepas tersingkir pada Terbuka Australia hari ini.
Pemain No.2 dunia itu tewas 22-20, 15-21, 16-21 kepada pemain China, Lu Guang Zu dalam aksi yang memakan masa lebih sejam.
Zii Jia kini menghuni tangga kesembilan dalam ranking Jelajah Dunia musim ini.
Mengikut peraturan yang ditetapkan, mana-mana pemain perlu berada dalam kelompok lapan teratas saingan Jelajah Dunia untuk melayakkan diri ke kejohanan di Bangkok nanti.
Sementara itu, pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Ng Tze Yong meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir Terbuka Australia selepas menang 21-16, 19-21, 21-5 ke atas wakil Korea Selatan, Heo Kwang Hee.
Pemain No.1 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu memerlukan keputusan positif pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 tersebut bagi mencerahkan peluang untuk berada dalam kelompok 32 terbaik dunia menjelang akhir tahun ini.
Perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei turut menempah tempat di pentas suku akhir selepas menewaskan pemain India, Anwesha Gowda menerusi aksi straight set 21-7, 21-13.