PORT DICKSON – Seorang pekerja kebun sayur ditemui maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit di sebuah rumah di Jalan Lorong Empang Batu, Kampung Jimah Lama di sini hari ini.
Mangsa, Md Abdul, 40-an, warganegara Bangladesh ditemui terbaring oleh penyelianya setelah tidak kelihatan bekerja di ladang sayur yang terletak tidak jauh dari rumahnya itu.
Jiran mangsa, Ajarah Maarof, 59, berkata, dia dimaklumkan oleh penyelia kebun sayur tentang keadaan mangsa yang pengsan di atas lantai rumah.
“Saya dapati keadaan mangsa agak parah, bahagian dadanya terdapat kesan melecur dipercayai terkena renjatan elektrik.
“Saya terus menghubungi pasukan bomba dan pihak polis untuk melihat keadaan mangsa sebelum disahkan pegawai perubatan yang mangsa sudah meninggal dunia,” lapor Kosmo Online hari ini.
Ajarah berkata, mangsa seorang pekerja yang rajin dan selalu pergi ke masjid untuk solat jemaah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mayat mangsa di bawa ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat.