KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri ke-10 berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini, pada jam 5.06 petang.
Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi.
Sejurus mengangkat sumpah, Anwar menandatangani beberapa dokumen berkaitan sebelum upacara itu diakhiri dengan bacaan doa dipimpin Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Upacara disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Anwar, 75, yang berbaju Melayu hitam lengkap bersamping warna keemasan diiringi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mencipta rekod dengan menamatkan penantian 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri .
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.