CIANJUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun berjaya diselamatkan selepas terperangkap dua hari di bawah serpihan bangunan tanpa makanan atau minuman.
“Apabila kami menyedari Azka masih hidup, semua orang menangis, termasuk saya.
“Ia sangat mengharukan, terasa seperti satu keajaiban,” kata sukarelawan tempatan, Jeksen Kolibu, kepada AFP.
Rakaman video mangsa telah dikeluarkan oleh pentadbiran daerah Bogor di Jawa Barat menunjukkan pekerja penyelamat menarik budak lelaki dikenali sebagai Azka dari runtuhan rumah yang musnah di daerah Cugenang yang paling teruk dilanda gempa.
Sukarelawan yang menariknya keluar dari lubang di celah serpihan itu mencapai kedua-dua belah tangannya, ketika seorang lagi pekerja penyelamat membantu untuk memegang tangan budak itu.
Apabila ditemui penyelamat, Azka kelihatan tenang sambil menghirup minuman yang diberikan oleh penyelamat.
Ibunya meninggal dunia dalam gempa bumi dan mayatnya ditemui beberapa jam sebelum Azka diselamatkan, manakala neneknya turut meninggal dunia yang ditemui di sebelah Azka.
Kolibu berkata, ketika Azka ditemui, dia berada dalam ruang yang sempit, gelap, panas dan tidak ada lubang yang cukup untuk bernafas.
“Kami tidak sangka dia masih hidup selepas 48 jam, jika kami tahu kami akan berusaha lebih keras pada malam sebelumnya.
“Selama bertahun-tahun sejak saya menjadi sukarelawan, saya tidak pernah melihat perkara seperti ini.
“Azka tidak mengeluarkan suara, dia langsung tidak menangis meminta tolong atau merengek.
“Walaupun dia ditarik keluar dari runtuhan dia masih sedar dan tidak berkata apa-apa. Dia kelihatan sangat keliru,” kata Kolibu.
Gegaran kuat yang melanda bandar Cianjur di Jawa Barat Isnin lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 271 orang.
Pencarian masih diteruskan untuk mereka yang belum ditemui, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun. – AFP