SHAH ALAM – Jay Chou sedia menunda tarikh konsert Jelajah Dunia Jay Chou di Kuala Lumpur untuk beri laluan kepada perlawanan separuh akhir Malaysia menentang Thailand.
Keputusan itu bagi membolehkan 21,000 tempat duduk untuk aksi Piala AFF Sabtu ini dapat dikembalikan selepas struktur pentas konsert Jay Chou dipasang di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Jay Chou menerusi InstaStorynya hari ini memaklumkan beliau sedia menangguhkan konsert yang bakal berlangsung pada 15 Januari depan kepada suatu tarikh baharu.
“Peminat Malaysia, saya tahu kepentingan dan keutamaan yang anda letakkan pada bola sepak.
“Saya boleh menunda konsert saya tiada masalah, tetapi anda kena tanya kepada penganjur tempat adakah konsert saya boleh ditangguhkan?.
“Saya tidak apa-apa, asalkan saya boleh menyanyi hanya untuk peminat saya,” katanya.
Penyanyi antarabangsa dari Taiwan itu menjadi sasaran amukan netizen, apabila akaun media sosialnya diserang.
Dipercayai, perkara tersebut dipengaruhi ketidakpuasan hati peminat bola sepak tempatan kerana pemasangan struktur pentas konsertnya di lokasi itu menyebabkan ramai ‘kempunan’.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh terdahulu memberitahu, kerja pemasangan berkenaan telah ditempah awal semenjak Mac 2019.
Sementara itu, penyokong bola sepak tanah air akan dapat menyaksikan tayangan perlawanan itu di 14 skrin besar yang disediakan di seluruh negara.
Antara lokasi skrin besar yang akan menayangkan aksi separuh akhir pertama Piala AFF itu termasuklah Dataran Merdeka Kuala Lumpur; Perbadanan Putrajaya, Presint 3 Putrajaya; Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di Negeri Sembilan; dan Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
Hannah berkata, kementerian berkenaan bersama Kementerian Perpaduan Negara, mengambil usaha itu bagi memastikan rakyat menikmati aksi tersebut.